Monday, May 23, 2011

Puduraya : Sewa tinggi


KUALA LUMPUR: Rata-rata peniaga di Hentian Puduraya di sini tidak berpuas hati dengan kadar sewa yang dikenakan pihak pengurusan di situ kerana kadarnya lebih tinggi berbanding sebelum bangunan itu diubah suai itu beroperasi semula Sabtu lalu.Harga tapak sewa gerai makan mencecah RM2,000 hingga RM3,000 sebulan, manakala kedai runcit antara RM500 dan RM1,000.

Berikutan peningkatan kadar sewa itu ramai peniaga mengeluh memandangkan jumlah pengunjung pada masa ini tidak ramai seperti yang dijangkakan.
Peniaga gerai makanan, Farizuan Abdul Ghani, 29, berkata sewa yang mahal itu agak membebankan dengan bayaran deposit kira-kira RM11,000 hingga RM12,000.

Bagaimanapun, katanya, dia tetap nekad mencuba nasib meneruskan perniagaan yang diwarisi daripada keluarganya itu sejak 18 tahun lalu. Pekerja kedai runcit, Umama Abdullah, 38, pula berkata pelanggan kurang mengunjungi kedai majikannya berbanding sebelum ini kerana kebanyakan peniaga menjual barang yang serupa seperti makanan dan minuman ringan serta surat khabar.

Menurutnya lagi, operasi bas ke selatan yang tidak beroperasi di bangunan itu kerana dipindahkan ke Terminal Bersepadu Bandar Selatan (TBS), Bandar Tasik Selatan juga menyebabkan kedatangan pengunjung kurang, sekali gus mengurangkan jumlah pelanggan.

Ketika dikunjungi Harian Metro kira-kira jam 12 tengah hari semalam Umama berkata, jumlah jualan di kedai majikannya itu baru saja mencecah RM10 kerana tidak ramai yang berkunjung ke kedai runcit itu yang sedikit jauh dari kaunter penjualan tiket.
Tinjauan Harian Metro mendapati operasi penjualan tiket berjalan lancar, namun operasi perniagaan gerai makanan masih lagi berada pada tahap 10 peratus kerana masih ramai yang belum memulakan operasi berniaga.

Pengurus Besar UDA Mall Sdn Bhd, Salamah Ismail berkata, kadar sewa yang dikenakan kerana peningkatan kos penyelenggaraan seperti elektrik dan air hasil penambahan kemudahan seperti lif, eskalator, penghawa dingin, dan kamera litar bertutup (CCTV). “Adakah mereka lebih rela membayar sewa rendah dan beroperasi dalam keadaan yang tidak kondusif atau menanggung sedikit kenaikan sewa tetapi menjanjikan keselesaan kerana mereka bersaing juga dengan kedai di persekitaran terminal yang dilengkapi kemudahan serba moden” katanya ketika dihubungi semalam.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Sewatinggi/Article/index_html

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More