Saturday, June 4, 2011

PTPTN: Ramai peminjam lari dari Hutang PTPTN




BEBERAPA hari lalu media melaporkan mengenai usaha Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memburu hampir 100,000 peminjam yang gagal membayar balik pinjaman mereka berjumlah RM1.9 bilion sejak 1997. Biarpun beberapa kali notis amaran dikirim kepada mereka, namun sehingga kini masih belum menerima maklum balas daripada peminjam liat terbabit. Sepatutnya peminjam bersikap lebih positif, berterima kasih kepada PTPTN menyediakan dana besar untuk membiayai pengajian masing-masing.


Usah jadi kacang lupakan kulit, sebaliknya hargailah inisiatif yang disediakan kerajaan dengan membuat pembayaran balik selepas tamat pengajian dan mempunyai kerjaya. Sejak zaman baginda Rasulullah SAW lagi, amalan berhutang sudah pun berlaku seperti kisah Nabi Muhammad SAW yang berhutang seekor unta. Kemudian baginda membayar hutang untanya tadi dengan unta yang lebih besar dan lebih baik daripadanya. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Sebaik-baik kamu, ialah orang yang melebihkan hutang dan memperelokkan pembalasan hutangnya (menambah daripada apa yang diambil).”


Kini, berhutang sudah menjadi ‘trend’ dalam kehidupan masyarakat. Untuk memiliki kenderaan, perabot rumah dan apa saja keperluan hidup dengan cepat, maka tidak dapat tidak seseorang itu perlu berhutang. Tetapi malangnya, ramai pula yang hanya tahu berhutang, tetapi tidak pula berusaha melangsaikan pembayaran hutang mengikut perjanjian dibuat. Adakalanya orang membuat jaminan terpaksa memikul beban kerana kedegilan si berhutang. Islam sebagai agama yang syumul dalam segala aspek menggariskan beberapa persoalan mengenai hukum berhutang, ganjaran pemberi hutang serta kaedah membuat bayaran balik sesuatu hutang yang dibuat. Rasulullah SAW mengingatkan kita semua orang yang berharta asyik menangguhkan pembayaran hutang yang sudah dibuat termasuk dalam perbuatan zalim. Pada dasarnya, Islam tidak menggalakkan umatnya berhutang.


Perkara ini dijelaskan dalam hadis daripada Uqbah Amir yang bermaksud: “Jangan kalian membuat takut jiwa selepas ketenangannya. Mereka berkata: Apa itu wahai Rasulullah? Beliau bersabda: “Hutang.” Hutang dalam bahasa Arab bermaksud al-Qardhu atau potongan. Dari segi bahasa membawa maksud potongan sebahagian harta dan diberi kepada seseorang yang memerlukan. Dalam Islam hutang dan sedekah mempunyai pertautan yang amat rapat dan dijelaskan dalam hadis yang bermaksud: “Hutang dari segi pahala, lebih dua pahalanya daripada pahala sedekah”. (Hadis Hasan).


Dalam kisah perjalanan Rasulullah SAW bersama malaikat Jibril pada malam Israk Mikraj, tergantung di salah sebuah pintu syurga kata-kata bermaksud: “Sedekah bersamaan 10 kali ganda dan hutang bersamaan 18 kali ganda”. Lalu baginda bertanya kepada Jibril: “Mengapa demikian? Jawab Jibril: “Sedekah diberikan kepada seseorang, semua atau sebahagiannya. Sementara hutang, orang tidak akan meminta berhutang kalau tidak kerana sebab mendesak. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Allah akan menolong hamba-Nya selama hamba itu suka menolong saudaranya”. (Riwayat Muslim).


Pun begitu, memberi hutang boleh bertukar menjadi wajib apabila bertujuan memenuhi keperluan yang begitu mendesak, seperti membantu orang yang sangat memerlukan, menghadapi musibah atau apa jua bencana alam dan golongan manusia yang termasuk dalam golongan kurang upaya. Ini bersesuaian dengan kehendak Allah seperti tercatat dalam surah al-Maidah ayat 2 yang bermaksud: “Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan kamu tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pencerobohan. Dan bertakwa kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat seksa-Nya”.




p/s Bagi mereka yang buat hutang jangalah liat untuk membayar, mungkin di dunia ni kita lepas tapi bagaimana dengan di akhirat kelak..renung-renungkan...

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More