Monday, June 6, 2011

Singapura Dilanda Banjir


Pokok tumbang, kereta rosak di tengah jalan dan gedung beli-belah dimasuki air.

Demikian antara rentetan masalah yang berlaku apabila hujan lebat lebih empat jam pagi semalam menyebabkan beberapa kawasan di serata Singapura dinaiki air.

Selain daripada banjir kilat di kawasan MacPherson dan banyak jalan raya menjadi seakan 'sungai', beberapa besmen bangunan pula digenangi air. Paling teruk terjejas adalah di kawasan Tanglin.

Semalam, Menteri Sekitaran dan Sumber Air yang baru, Dr Vivian Balakrishnan, bergegas ke Tanglin Mall setelah diberitahu besmen bangunan itu digenangi air setinggi 100 milimeter.

Semasa meninjau bersama para pegawai kanan agensi air negara, PUB, Dr Balakrishnan mengalu-alukan semangat para pekerja yang sibuk membersihkan kawasan yang dimasuki air berlumpur bagi memastikan kerja-kerja pembaikan dapat dilakukan dan perniagaan boleh diteruskan.

Selain daripada perniagaan, tempat meletak kereta di besmen bangunan itu - dan besmen di beberapa bangunan lain di sekitarnya seperti Orchard Towers, Forum The Shopping Mall, Delfi Orchard, Liat Towers dan St Regis Residences - juga dimasuki air.

Orang ramai yang memuatnaikkan gambar-gambar di laman Stomp turut melaporkan banjir di Holland Road, Cuscaden Road, Eng Neo Avenue, Dunearn Road, Bukit Timah, Sennett Estate dekat Potong Pasir, MacPherson, Toa Payoh, Boon Keng, Bendemeer dan Balestier.

Seorang penduduk di kawasan Balestier, Encik Michael Ng, berkata jalan raya di Mandalay Road 'kelihatan seperti sebatang sungai'.

Hujan lebat turut menyebabkan sebatang pokok tumbang dan menghempap sebuah lori di Bedok Reservoir Road.

'Emak menjerit apabila pokok tumbang. Saya bersyukur ia tidak menjejas kereta saya tetapi kesiankan pemilik lori itu,' kata Cik Sharifah Mohamed Sharif menerusi e-melnya kepada Berita Harian Singapura semalam.

Dalam kenyataannya semalam, PUB berkata ia telah mengerahkan kakitangan dan kontraktornya ke tempat-tempat yang terjejas. Pam dan lori tangki juga dikerah bagi membantu mengepam air keluar dari bangunan.

Mari kita saksikan selingan gambar banjir di singapura













Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More